PEMILIHAN reka bentuk katil dan jenis tilam yang betul bukan saja dapat menyokong kesihatan badan tetapi elemen ini juga dapat membantu menyerlahkan hiasan dalaman sesebuah kediaman tanpa mengira keluasan ruang berkenaan.
Malah, ada yang sanggup berhabis untuk mendapat keselesaan ketika tidur kerana ia adalah permulaan kehidupan yang lebih bermaya, cergas dan sihat keesokan harinya selain menjamin kurang risiko sakit belakang.
Jururunding hiasan dalaman, Jamilah Ahmad, berkata pemilihan dua barang asas ini banyak bergantung kepada kemampuan dan cita rasa seseorang, sama ada memilih katil ringkas, berkerawang yang diperbuat daripada kayu ataupun besi.
Beliau berkata, bagi memilih jenis tilam pula, kebanyakan pemilik kediaman lebih gemar tilam spring kerana ia menyokong tulang belakang dengan baik dan pada masa sama harganya tidak terlalu mahal dan mampu dimiliki.
Malah untuk rasa lebih selesa, ada yang melengkapkan bilik tidur dengan pelbagai peralatan seperti lampu tidur dan set radio, mengikut perkembangan semasa selain pemilihan katil dan tilam yang betul.
“Sama ada rumah sendiri atau sewa, hiasan dalaman terutama bilik tidur bergantung kepada jenis rumah yang dimiliki. Sama ada banglo, teres dan pangsa; ada cara tersendiri untuk dihiasi supaya tampak cantik, seimbang dan paling penting selesa.
“Biasanya, setiap bilik dilengkapi katil, almari pakaian, meja solek dan jika ruang berkenaan besar ia boleh dimuatkan dengan televisyen dan kabinet tambahan. Ada yang menjadikan bilik tidur itu sebagai tempat bekerja,” katanya.
Katanya, pemilik kediaman yang mempunyai keluasan bilik terhad lebih cenderung membeli katil bujang kerana mudah dikemaskan selain mempunyai saiz kecil. Bagaimanapun, ia tidak sesuai untuk yang berumahtangga.
Beliau berkata, generasi muda hari ini lebih gemar memilih katil diperbuat daripada kayu jati dan maple bermutu tinggi selain reka bentuk moden. Pilihan warna cadar pula perlu sesuai dengan warna dinding dan langsir dalam bilik berkenaan untuk mengelakkan suasana semak dan serabut.
Katanya, pemilihan bentuk katil juga hendaklah disesuaikan dengan bilik. Bagi bilik anak remaja dan bujang, letakkan katil bersaiz kecil atau dua tingkat untuk menjimatkan ruang terutama jika memiliki rumah kos rendah.
“Katil besar yang diperbuat daripada kayu atau besi biasanya menghiasi bilik tidur utama. Untuk tampak lebih manis, ada yang menghamparkan permaidani kecil bercorak halus atau warna polos di hujung kaki katil,” katanya.
Beliau berkata, jika mempunyai bilik tetamu, boleh melengkapkannya dengan katil bujang atau katil saiz sederhana kerana tetamu yang datang biasanya lebih selesa dalam bilik yang ringkas dilengkapi almari pakaian dan cermin besar.
“Apa yang penting ialah pemilihan katil dan tilam perlu bersesuaian dengan bajet tetapi perlu memastikan ia tidak akan menyebabkan kesakitan pada anggota badan. Katil dan tilam adalah dua elemen penting yang tidak boleh dilupakan,” katanya.
Panduan memilih katil:
* Tentukan saiz yang sesuai dengan keluasan bilik.
* Jika memiliki bilik yang luas, anda boleh memilih reka bentuk katil yang sarat. Sebaliknya pilih rekaan yang ringkas jika bilik anda kecil dan sempit.
* Beli tilam yang dapat menyokong berat badan anda. Tilam diperbuat daripada getah harganya agak mahal tetapi memberi keselesaan.
* Dapatkan nasihat pakar jika anda membeli tilam udara atau air.
* Buat ujian ketahanan kepada katil yang dipilih. Pastikan ia tidak bergoyang atau berkeriut kerana ini menimbulkan rasa tidak selesa.
* Jika membeli katil besi, pastikan ia bebas calar. Pastikan tiada skru yang hilang.
* Bagi katil dua tingkat atau beroda, pastikan sambungannya kukuh dan roda dalam keadaan baik.
* Untuk menjimatkan ruang dan wang, anda boleh memilih katil dwifungsi (katil sofa). Selain tidak memerlukan bilik khas, ia berfungsi sebagai sofa di ruang tamu.
Pastikah tilam diganti
TIDUR adalah rehat yang sangat penting bagi memastikan kita menikmati kesegaran sepanjang hari. Tetapi bagaimana cara terbaik mendapatkan tidur yang nyenyak? Katil dan tilam empuk menjanjikan tidur lena serta rehat yang sempurna.
Pernahkah anda mengalami sakit belakang atau leher yang berlanjutan sebaik bangun dari tidur? Ia mungkin disebabkan kedudukan badan ketika tidur dan ini banyak dipengaruhi keadaan tilam. Bagaimana menentukan bila anda memerlukan tilam baru?
Berikut panduan yang boleh diikuti.
* Adakah katil anda sudah melebihi 10 tahun?
* Pernahkah anda bangun tidur dan mengalami sakit belakang atau sakit leher yang berpanjangan?
* Bagaimana rupa tilam anda tanpa cadar? Adakah ia penuh dengan tanda kotor atau sudah koyak?
* Bolehkah anda rasa bonjolan spring setiap kali anda baring?
* Apabila anda beralih, dapatkah anda dengar pelbagai bunyi? Jika ya, ini menandakan katil anda sudah uzur.
* Adakah anda sering tergolek ke arah pasangan anda secara tidak sengaja ketika beralih badan? Jika ya, ini bermakna tilam anda sudah kehilangan sokongan.
* Adakah anda merasakan katil sudah sempit untuk anda berdua? Selalukah pergerakan anda mengganggu tidur pasangan anda?
* Adakah tilam anda sudah hilang keanjalan? Apabila anda baring, tilam akan berlekuk mengikut bentuk badan anda dan tidak kembali ke bentuk asal atau permukaan tilam menjadi tidak sekata.
* Periksa kaki katil anda, adakah ia rosak?
* Adakah anda akan berasa malu jika jiran melihat tilam anda yang tidak bercadar? Jika ya, anda tahu apa yang perlu dilakukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan