Sabtu, 1 Januari 2011

Panduan Memilih Fabrik Hiasan Dalaman

DIPETIK DARI SUMBER: BERITA HARIAN

FABRIK hiasan dalaman mampu menaikkan seri kediaman. Walaupun kecil, ia berperanan besar menyumbang kepada tata hias dalaman terutama bagi pemilik kediaman yang mempunyai perbelanjaan kecil.
Amat penting untuk memilih fabrik bersesuaian supaya tidak janggal dekorasi kediaman. Justeru, gunakan kebijaksanaan ketika memilih fabrik sama ada untuk kusyen, langsir atau cadar.

Di sini diberikan beberapa panduan:
 1) Seelok-eloknya dicadangkan memilih corak dan warna fabrik terlebih dulu sebelum memilih warna cat rumah.

2) Beli fabrik lebih sedikit daripada ukuran yang diperlukan untuk menampung keperluan di luar dugaan.

3) Tiada salah membeli fabrik bermotif bunga tetapi ia agak sukar untuk disesuaikan dengan hiasan dalaman lain. Fabrik polos lebih digalakkan tetapi fabrik bunga sesuai untuk mereka yang menggemari gaya kedesaan Inggeris.

4) Motif grafik berwarna terang dan mempunyai warna bertentangan agak menarik jika dijadikan cadar di bilik tidur sebagai titik tumpuan di bilik berkenaan.
Warna biru, hijau dan alam paling sesuai untuk mereka yang inginkan ketenangan dan merehatkan minda

5) Kusyen sofa dan katil berupaya menjadi penyeri ruang tetapi jangan mencampur aduk pelbagai warna. Hanya menggunakan satu warna dengan berbeza tona untuk mengekalkan keharmonian suasana.

6) Tidak perlu memilih fabrik hiasan mengikut gaya semasa tetapi berdasarkan kesesuaian dan cita rasa. Jika fabrik itu tahan lasak dan sesuai dijadikan kusyen kecil, beli saja kerana ia menjimatkan wang anda.

7) Fabrik etnik seperti kain pua bukan sekadar sebagai hiasan dinding tetapi boleh dijadikan alas meja, penghias sofa, sarung kusyen kecil yang menarik. Serasikan dengan hiasan dalaman lain.

8) Jika mempunyai perbelanjaan agak terhad, tidak perlu menukar sofa atau mengecat dinding, cukup sekadar menggantikan sarung kusyen penghias sofa kepada warna lebih ceria.

9) Fabrik berkilat seperti satin dan sutera tidak sesuai untuk ruang yang terdedah kepada cahaya matahari.

1 ulasan: